Saturday, August 22, 2009

5 perkara yang membatalkan puasa

Terdapat beberapa perbuatan yang wajib dijauhi oleh orang yang puasa, kerana sekiranya perbuatan-perbuatan tersebut dilakukan pada siang hari di bulan Ramadhan, ianya akan membatalkan puasa dan mungkin akan menjadikan ia berdosa. Perkara-perkara tersebut adalah sebagaimana berikut:

1. Makan dan Minum Dengan Sengaja

Allah Subhabahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan makan serta minumlah sehingga terang bagimu benang putih dan benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga (datangnya) malam.” (al-Baqarah, 2: 187)

Dengan demikian, dapat difahami bahawa puasa itu adalah menahan diri dari makan dan minum. Ini kerana sekiranya orang berpuasa sengaja makan dan minum bererti ia telah berbuka (tidak berpuasa). Jika orang yang sedang berpuasa melakukannya atas sebab lupa, salah atau dipaksa, maka ianya tidak membatalkan puasanya.

2. Muntah Dengan Sengaja

Barangsiapa yang muntah kerana terpaksa atau tidak sengaja, maka tidak membatalkan puasanya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Barangsiapa yang terpaksa muntah, maka tidak wajib baginya untuk meng-qadha puasanya, dan barangsiapa muntah dengan sengaja, maka wajib baginya mengqadhakan puasanya.” (Hadis Riwayat Abu Dawud (3/310), at-Tirmidzi (3/79), Ibnu Majah (1/536) Ahmad (2/498) melalui jalan Hisyam bin Hassan, dari Muhammad bin Siren, dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu. Sanadnya sahih, sebagaimana yang disampaikan oleh Syaikhul Islam di dalam kitab Haqiiqatush Shiyaam, m/s. 14))

3. Haidh dan Nifas

Jika seseorang wanita haidh atau nifas, pada suatu bahagian siang tertentu (di bulan Ramadhan), sama ada di awal atau pun di akhir waktu, maka mereka harus berbuka dan mengqadhakannya. Jika mereka tetap berpuasa, maka puasa tidaklah sah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Bukankah jika haid dia tidak solat dan puasa?” Kami katakan, “Ya.” Beliau berkata, “Demikianlah kekurangan agamanya.”

4. Suntikan Yang Mengandung Makanan

Iaitu menyalurkan zat makanan ke perut dengan maksud memberi makanan bagi orang yang sakit. Suntikan seperti ini membatalkan puasa, kerana memasukkan makanan kepada orang yang sedang berpuasa. Adapun jika suntikan tersebut tidak sampai kepada perut tetapi hanya ke darah, maka inipun juga membatalkan puasa, kerana kandungan cecair tersebut kedudukannya menggantikan kedudukan makanan dan minuman. Kebanyakan orang yang pengsan dalam jangka waktu yang lama diberikan makanan dengan cara seperti ini, seperti jauluz (glukosa) dan salayin (garam/Sodium), demikian pula zat-zat yang diberikan kepada sebahagian orang-orang yang sakit asma, maka inipun membatalkan puasa.

5. Jima’ (Bersetubuh)

Ibnul Qayyim berkata (Zaadul Ma’ad (2/66)), “al-Qur-an menunjukkan bahawa jima’ membatalkan puasa sebagaimana halnya makan dan minum, tidak ada perbezaan pendapat dalam perkara ini.”

Diizinkan bergaul (dengan isterinya) di malam hari, maka dapat kita fahami bahawa puasa itu dari makan, minum dan jima’. Barangsiapa yang membatalkan puasanya dengan jima’, maka dia harus mengqadhanya dan membayar kafarat.


No comments:

LiLo

Related Posts with Thumbnails